PETALING JAYA – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berhasrat membantu seorang pelajar berusia 19 tahun yang memperoleh keputusan cemerlang 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi terpaksa menangguhkan pengajian ke universiti akibat kekangan kewangan.

Beliau berkata, pelajar berkenaan dilaporkan terpaksa bekerja sebagai penghantar makanan bagi mencari pendapatan.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Asyraf Wajdi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anak muda itu supaya memaklumkannya dengan segera.

Menurutnya, situasi tersebut mengingatkannya kepada kisah seorang pelajar cemerlang dari Kampung Pahat, Gerik yang terpaksa menangguhkan pengajian ke Universiti Utara Malaysia (UUM) kerana masalah kewangan.