Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya perjanjian tripartite (tiga pihak) membabitkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerajaan Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri berhubung pengurusan sisa pepejal di Selangor dapat dicapai segera.

Sultan Sharafuddin bertitah, langkah itu penting demi kepentingan semua pihak dalam memastikan rakyat dapat menikmati persekitaran Selangor yang lebih bersih hasil daripada manfaat penyelarasan berkenaan.

Baginda turut menekankan kepentingan supaya semua pihak iaitu kerajaan Persekutuan melalui KPKT, kerajaan negeri dan PBT bersama memastikan tahap pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam berada pada paras setara atau lebih baik daripada pelaksanaan sedia ada di Selangor usai pemakaian Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).