Keningau: Kegiatan menjual senapang angin dan peluru tanpa lesen di sekitar daerah ini terbongkar selepas polis menyerbu sebuah pondok di Kampung Sook, di sini, semalam.

Dalam serbuan menerusi Op Laras itu, seorang pekebun kelapa sawit berusia 50 tahun ditahan bersama rampasan 42 laras senapang angin pelbagai jenis, 456 kotak kecil peluru dan lima beg senjata bercorak celoreng.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, operasi dijalankan sepasukan anggota Bahagian D9, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Keningau.

Katanya, serbuan dilakukan susulan maklumat orang awam mengenai kegiatan mencurigakan di lokasi berkenaan.