Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, Arab Saudi, yang mengorbankan nyawa mereka yang tidak bersalah dan mencederakan ratusan yang lain.

Menerusi hantaran Facebook beliau hari ini, Anwar mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mendoakan mereka yang cedera agar segera sembuh.

"Tiada justifikasi untuk serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam. Membahayakan nyawa insan yang tidak bersalah hanya akan memburukkan lagi penderitaan akibat konflik ini dan membawa kesannya ke tempat-tempat yang sepatutnya tidak terjejas," kata beliau.

Anwar berkata Malaysia berdiri teguh dengan Arab Saudi dan rakyatnya ketika konflik berterusan dan berharap usaha diplomatik dapat menghalang keadaan daripada terus meruncing.