KUALA LUMPUR: Seorang buruh binaan dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan melarikan dan mengurung seorang lelaki warga Palestin di sebuah chalet, empat tahun lalu.
Hukuman itu dijatuhi Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin selepas tertuduh, Edy Ko’im Said, 46, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dikemukakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berjalan bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melarikan secara paksa seorang lelaki warga Palestin berusia 31 tahun dengan niat supaya individu itu dikurung secara rahsia dan salah di sebuah chalet, Jalan Mayang, Dang Wangi, di sini, pada pukul 10.40 malam, 28 September 2022.








