KUALA LUMPUR – Seorang buruh binaan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan melarikan dan mengurung lelaki warga Palestin di sebuah chalet dalam kejadian empat tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Arief Emran Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Edy Ko’im Said, 46, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan melarikan dan mengurung lelaki warga Palestin itu.
Sebelum ini lelaki tersebut didakwa atas pertuduhan menculik. Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan pindaan itu, Edy Ko’im didakwa melarikan secara paksa seorang lelaki warga Palestin berusia 31 tahun dengan niat supaya individu itu dikurung secara rahsia dan salah di Jalan Mayang, Dang Wangi, di sini pukul 10.40 malam pada 28 September 2022.








