ALOR SETAR – Polis Kedah membongkar taktik sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai polis India dengan memakai uniform pasukan itu ketika membuat panggilan video bagi memperdaya mangsa di negara tersebut.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kegiatan itu terbongkar selepas polis menyerbu pusat panggilan penipuan sindiket berkenaan di Bandar Putra, Kulim kira-kira pukul 8 malam, Jumaat lalu.

Katanya, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak penghujung Ogos lalu dengan menjadikan lima lot rumah kedai tiga tingkat sebagai pusat operasi.

“Dalam serbuan itu, kita menahan seramai 48 individu disyaki ahli sindiket berusia antara 20 hingga 43 tahun. Mereka terdiri daripada tujuh lelaki tempatan, 28 lelaki dan lima wanita Pakistan serta enam lelaki dan dua wanita India.