PUTRAJAYA: Taktik sindiket penipuan dalam talian antarabangsa menjadikan sebuah pusat peranginan di Sungai Lembing, dekat Kuantan, yang ditutup sejak tahun lalu sebagai pusat panggilan terbongkar, selepas premis berkenaan diserbu Imigresen, Isnin lalu.
Lebih mengejutkan, sindiket terbabit dipercayai membayar sewa kira-kira RM30,000 sebulan untuk menjadikan premis itu sebagai markas operasi dilengkapi kemudahan internet.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata operasi khas Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen, dengan kerjasama Jabatan Imigresen Negeri Pahang itu diadakan selepas risikan sebulan.
Beliau berkata, 98 individu ditahan membabitkan 95 warga asing dan tiga warga tempatan, termasuk pemilik pusat peranginan berkenaan.










