am@hmetro.com.my

Putrajaya: Taktik sindiket penipuan dalam talian antarabangsa menjadikan sebuah pusat peranginan di Sungai Lembing, dekat Kuantan di Pahang yang ditutup sejak tahun lalu sebagai pusat panggilan terbongkar, selepas premis berkenaan diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Isnin lalu.

Lebih mengejutkan, sindiket terbabit dipercayai membayar sewa kira-kira RM30,000 sebulan untuk menjadikan premis itu sebagai markas operasi yang dilengkapi kemudahan Internet.

Ketua Pengarah JIM Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan menerusi operasi khas oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat JIM dengan kerjasama JIM Pahang selepas risikan dijalankan selama kira-kira sebulan.

Menurutnya, seramai 98 individu ditahan membabitkan 95 warga asing dan tiga warga tempatan termasuk pemilik pusat peranginan berkenaan.