SHAH ALAM – Koperasi Tenaga Nasional Berhad (Koperasi TNB) hari ini merasmikan cawangan kedua Koptown Ar-Rahnu di TTDI Jaya di sini, selepas lebih lima tahun mengendalikan perkhidmatan berkenaan di cawangan pertama di Bangsar, Kuala Lumpur.

Pengerusi Koperasi TNB, Nik Hishamuddin Mohamed berkata, pembukaan cawangan kedua itu mencerminkan keyakinan pihaknya terhadap potensi perniagaan Ar-Rahnu, selain usaha memperluas perkhidmatan berasaskan prinsip syariah kepada anggota dan masyarakat.

Jelas beliau, sepanjang tempoh lebih lima tahun mengendalikan Ar-Rahnu, Koperasi TNB telah menimba banyak pengalaman dalam menguruskan perniagaan berkenaan termasuk dari segi penilaian emas, pengurusan pelanggan dan aliran tunai.