ARAU: Setiap kanak-kanak berhak membesar dalam persekitaran selamat, bebas penderaan, pengabaian, keganasan dan eksploitasi.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha melindungi kanak-kanak perlu bermula di rumah, diperkukuh di sekolah serta diperluas melalui penglibatan aktif masyarakat bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa terpelihara.

Sehubungan itu, baginda menyokong usaha memperkasa Pasukan Pelindung Kanak-Kanak (PPKK) dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) sebagai rakan strategik di peringkat akar umbi khususnya dalam membantu mengesan risiko lebih awal, menyalurkan maklumat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta meningkatkan pendidikan dan kesedaran mengenai keselamatan kanak-kanak.