ISKANDAR PUTERI: Kejadian serangan anjing liar terus berlaku di negeri ini melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang mengalami kecederaan parah selepas diserang sekumpulan anjing liar di Lima Kedai di sini, petang tadi.

Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang bermain bersama rakan-rakannya di taman permainan berhampiran flat perumahan murah di kawasan berkenaan, pada pukul 3 petang tadi.

Susulan insiden itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian mata, leher, kepala dan badan sehingga dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan lanjut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah anjing liar yang mengancam keselamatan penduduk.