BACHOK: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menjalani pembedahan lima jam selepas cedera parah diserang lima ekor anjing liar dalam kejadian di Pantai Kuala Kemasin, di sini.

Mangsa, Azuar Firdaus Zuraiman, 8, selamat menjalani pembedahan mencuci dan menampal kesan lubang bekas gigitan anjing termasuk kesan taring haiwan berkenaan pada bahagian kepala dan leher.

Bapa mangsa, Zuraiman Mahmod, 47, berkata ketika kejadian dia difahamkan anak kelapan daripada sembilan beradik itu sedang bermain di kawasan pantai berkenaan bersama beberapa saudaranya kira-kira jam 9.00 pagi Khamis lalu.

Katanya, secara tiba-tiba sekumpulan anjing liar datang dan mengejar mereka dan keadaan menyebabkan anaknya terjatuh sebelum kumpulan anjing itu menyerang dan menggigit kanak-kanak itu.