KUALA LUMPUR: Dua beradik tokoh korporat yang direman bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dan salah guna pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta dibebaskan dengan jamin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan perkara itu ketika dihubungi hari ini.
BH difahamkan, suspek yang bergelar Datuk Wira sudah dibebaskan kelmarin sebaik tempoh remannya berakhir, manakala seorang lagi yang bergelar Datuk Seri dilepaskan hari ini apabila tempoh remannya yang dilanjutkan selama dua hari tamat.
Minggu lalu, BH melaporkan kedua-dua suspek ditahan reman selama lima hari sehingga 5 Oktober.
Dalam operasi itu, SPRM turut menyita 15 unit kereta mewah bernilai kira-kira RM31 juta, 12 unit motosikal berkuasa tinggi bernilai kira-kira RM5 juta, lima unit jam tangan mewah, tiga unit gelang tangan dan wang tunai berjumlah kira-kira RM30,000.








