SHAH ALAM – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan peringatan bahawa setiap kebebasan yang diperoleh datang bersama dengan tanggungjawab, justeru rakyat perlu menggunakan media sosial dengan penuh adab serta rasa hormat kepada orang lain.
Seri Paduka Baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertitah demikian susulan terdapat sesetengah pihak yang menggunakan media sosial sebagai tempat untuk menghasut, menimbulkan kebencian dan memecahbelahkan masyarakat.
“Jangan jadikan media sosial sebagai pentas untuk menghina, memaki, mencaci dan menjatuhkan maruah seseorang. Berbeza pandangan bukan alasan untuk bermusuhan. Kita boleh tidak bersetuju, tetapi nyatakan pandangan dengan bahasa yang baik dan beradab.









