KUALA LUMPUR: Kecaman yang diterima selepas kekalahan lalu tidak mematahkan semangat jaguh muay thai negara, Johan Ghazali Zulfikar sebaliknya menjadi sebahagian daripada perjalanan untuk bangkit membuktikan kemampuan dirinya.

Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo membuktikan kebangkitannya apabila menewaskan Diego Paez menerusi keputusan sebulat suara dalam pertarungan kategori flyweight muay thai pada acara The Inner Circle 35 di Stadium Lumpinee, Bangkok, semalam.

Menerusi perkongsian di media sosial miliknya, petarung berusia 20 tahun itu mengakui berdepan pelbagai kecaman selepas pertemuan pertama menentang Paez, malah lebih menyakitkan apabila kritikan itu datang daripada orang sendiri.