KUALA LUMPUR: Kerajaan boleh mengadaptasi model penggajian dan kuota pekerja asing Singapura bagi memastikan majikan mengutamakan pengambilan pekerja tempatan sebelum dibenarkan membawa masuk tenaga kerja dari luar negara.
Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pendekatan itu penting bagi membolehkan pasaran buruh tempatan membezakan kadar gaji berdasarkan kelayakan dan kemahiran, sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat secara mampan.
“Di Singapura, mereka menggunakan Kadar Gaji Kelayakan Tempatan (LQS) di samping mempunyai sistem nisbah antara pengambilan pekerja tempatan dengan pekerja asing atau Had Nisbah Kebergantungan (DRC).
“Selagi tidak mencapai tahap dikehendaki untuk pekerja tempatan, syarikat tidak layak mendapatkan kuota ambilan pekerja asing. Cara LQS dan DRC ini jika diadaptasi ke Malaysia boleh membantu membezakan taraf gaji, malahan berpotensi menambah pendapatan rakyat,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.









