KUALA LUMPUR: Selangor menyasarkan peralihan daripada hab pemasangan dan pembuatan berkos rendah kepada pusat reka bentuk serta kejuruteraan berteknologi tinggi bagi menarik pelaburan bernilai tinggi dan memperkukuh kedudukan negeri itu dalam rantaian nilai global.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata perubahan hala tuju perindustrian itu penting bagi memastikan negeri berkenaan terus berdaya saing dalam persekitaran ekonomi global yang semakin dipacu teknologi, automasi canggih dan inovasi.

Beliau berkata, Selangor tidak lagi mahu bersaing berdasarkan kos buruh rendah sebaliknya menawarkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, teknologi termaju serta kerjasama jangka panjang yang mampu memberikan nilai tambah kepada pelabur.