SAN FRANCISCO: Segelintir penyelidik kecerdasan buatan (AI) dilaporkan mula merokok kerana yakin teknologi itu mampu menemukan penawar penyakit kanser.

Trend itu didedahkan Ketua Pegawai Teknologi syarikat perisian Amerika Syarikat (AS), Palantir, Shyam Sankar, yang mendakwa sebahagian penyelidik sanggup mempertaruhkan kesihatan sendiri bagi membuktikan keyakinan mereka terhadap AI.

Dalam temu bual program CBS News, Face The Nation, Sankar berkata, sesetengah penyelidik menggunakan tabiat merokok sebagai simbol mereka meletakkan keyakinan penuh kepada keupayaan teknologi itu.

“Mereka sanggup mempertaruhkan segala-galanya pada AI kerana yakin teknologi tersebut mampu menyembuhkan kanser,” katanya.