PETALING JAYA: Cadangan pelaksanaan hukuman pampasan kepada pesalah jalan raya disifatkan sebagai langkah tepat dan berkesan dalam memberi mesej bahawa sebarang kesalahan lalu lintas membawa implikasi undang-undang yang berat.

Pakar Keselamatan Jalan Raya, Dr. Mohd. Azman Abas berkata, hukuman konvensional seperti penjara, denda dan penggantungan lesen memandu selama ini mungkin belum cukup mendidik sesetengah pemandu berisiko tinggi untuk berhati-hati di jalan raya.

Katanya, kewajipan membayar pampasan secara langsung kepada mangsa atau waris mangsa kemalangan akan meletakkan beban tanggungjawab kewangan yang lebih berpanjangan kepada kehidupan pesalah.

“Tanggungjawab kewangan ini dijangka memberi kesan yang lebih mendalam kepada kehidupan pesalah, sekali gus meningkatkan kesedaran dan mengurangkan kecenderungan untuk melakukan kesalahan berisiko tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.