Jertih: Dua beranak dipercayai tersesat ketika mencari akar kayu di hutan berhampiran kawasan rekreasi Air Panas La (La Hot Spring), Hulu Besut, di sini sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim berkata Adam Adnan, 25, dan bapanya, Adnan Mohamad, 57, masing-masing dari Kulim dan Alor Setar, Kedah, menginap di Desa Landak Chalet, Kampung Padang Landak, di sini sebelum keluar kira-kira 7 pagi Khamis lepas untuk mencari akar kayu di kawasan hutan berkenaan.
Beliau berkata, pada kira-kira 3.30 petang semalam, seorang daripada mereka menghubungi ahli keluarga memaklumkan mereka tersesat dan gagal menemui jalan keluar dari kawasan hutan itu.
"Kedua-dua lelaki berkenaan bagaimanapun tidak dapat dihubungi selepas panggilan tersebut, sekali gus menimbulkan kebimbangan ahli keluarga terhadap keselamatan mereka," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.








