BESUT: Dua beranak dikhuatiri tersesat ketika berada di kawasan hutan berhampiran pusat rekreasi kolam air panas La Hot Spring, di sini semalam, dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan hari ini.
Adnan Mohamad, 57, bersama anaknya, Adam Adnan, 25, masing-masing dari Alor Setar dan Kulim Kedah, menginap di Desa Landak Chalet, Kampung Padang Landak.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim, berkata berdasarkan laporan yang diterima, dua beranak itu dipercayai keluar untuk mencari akar kayu di kawasan hutan berkenaan, kira-kira jam 7 pagi Khamis lalu.
"Bagaimanapun seorang daripada mereka menghubungi ahli keluarga dan memaklumkan tersesat dan tidak menemui jalan keluar kira-kira jam 3.30 petang semalam. Selepas itu mereka tidak dapat dihubungi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.








