Iskandar Samad berkata tinggal berdekatan akan memudahkan anak membantu ibu bapa dalam urusan harian dan memantau kebajikan. (Gambar Magnific)

PETALING JAYA: Kerajaan digesa memperkenalkan insentif kewangan kepada anak yang membeli rumah berhampiran ibu bapa menerusi Belanjawan 2027 bagi membantu memperkukuh penjagaan warga emas dalam keluarga.

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) Iskandar Abdul Samad berkata insentif itu boleh diberikan dalam bentuk geran pembelian rumah kepada anak yang membeli kediaman dalam jarak tertentu dari rumah ibu bapa.

“Insentif lebih tinggi juga boleh dipertimbangkan sekiranya ibu bapa tinggal bersama anak di kediaman sama.

“Kerajaan boleh menentukan jumlah insentif, had harga rumah, had pendapatan serta jarak yang sesuai berdasarkan keadaan di Malaysia,” kata bekas exco perumahan Selangor itu dalam kenyataan.