KANGAR: Cubaan 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki negara ini terbongkar apabila bot gentian kaca yang dinaiki mereka terkandas di perairan cetek Pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis, ketika air surut semalam.

Lebih mencurigakan, kesemua mereka cuba melarikan diri ke daratan ketika operasi penguatkuasaan dijalankan, namun gagal apabila berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Dalam operasi kira-kira pukul 6 pagi itu, seorang warga tempatan yang dipercayai berperanan sebagai awak-awak bot turut ditahan.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Zainudin Mohd. Zuki berkata, pihaknya terlebih dahulu menerima maklumat risikan mengenai sebuah bot yang dikesan bergerak laju dalam keadaan mencurigakan di kawasan pesisir pantai negeri ini.