Tawau: Ketika persiapan perkahwinannya sudah hampir selesai dan menunggu hari bahagia pada 19 Disember depan, seorang bakal pengantin diuji apabila rumah keluarganya musnah dalam kebakaran di Lorong Fook Hwa, Batu 2, Jalan Apas, di sini, malam tadi.
Mazlin Jufri, 23, berkata, dia terkejut dengan kejadian yang memusnahkan rumah ibu bapanya bersama 15 rumah lain dalam kebakaran kira-kira jam 9.30 malam itu.
Kerani sebuah syarikat swasta itu bagaimanapun bersyukur wang hantaran daripada pihak pengantin lelaki sudah dimasukkan ke dalam bank beberapa hari sebelum kejadian.
Menurutnya, persiapan untuk majlis perkahwinan juga sudah diatur termasuk jemputan kedua-dua pihak keluarga selain tempahan perkhidmatan andaman dan butik pengantin.









