MANJUNG - Dua beradik perempuan maut selepas terperangkap dalam kebakaran rumah di Kampung Koh, Sitiawan di sini pada Jumaat.Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan jam 9.01 pagi membabitkan mangsa berusia 15 dan 18 tahun.Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, kebakaran tersebut melibatkan dua rumah berkembar dua tingkat dengan kemusnahan hampir 90 peratus."Terdapat dua mangsa dilaporkan terperangkap di dalam rumah berkenaan. Kedua-dua mangsa yang merupakan adik-beradik disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Beliau berkata, kebakaran itu turut melibatkan empat kenderaan iaitu dua kereta Proton Saga, sebuah Proton Perdana dan sebuah motosikal.Katanya, operasi pemadaman yang dijalankan 20 anggota bersama BBP Seri Manjung dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pantai Remis berjaya dikawal pada jam 10.30 pagi."Kerja-kerja overhaul (pemeriksaan dan pemadaman sisa kebakaran) sedang dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula," katanya.Sayani berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan."Unit Anjing Pengesan (K9) turut dihubungi bagi membantu siasatan berhubung kejadian ini," katanya.