KANGAR: Mahkamah Sesyen, di sini hari ini memerintahkan pendakwah bebas Ahmad Husam Muhamad Baderudin atau Ustaz Husam, membela diri atas pertuduhan menggunakan gelaran kehormatan tidak diiktiraf.

Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang berusia 36 tahun itu di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah memberi tiga pilihan kepada tertuduh sama ada mahu memberi keterangan bersumpah di dalam kandang saksi yang membolehkannya disoal balas oleh pihak pendakwaan atau memberi keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh tanpa disoal balas atau memilih untuk berdiam diri.

Ahmad Husam kemudian memilih pilihan pertama iaitu memberi keterangan bersumpah dari dalam kandang saksi.