KUALA LUMPUR: Filem komedi sosial terbitan bersama Malaysia dan Mesir, Wanted By Family, yang menjalani lebih 40 peratus penggambaran di negara ini, kini menunggu kelulusan untuk ditayangkan kepada penonton tempatan.

Penerbitnya, Abdulrahman Suud, berkata segala dokumentasi berkaitan sudah diuruskan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), namun pihaknya masih menantikan lampu hijau bagi merealisasikan tayangan filem berkenaan di Malaysia.

Filem arahan Mootaz El Tomy itu dibintangi pelakon popular Arab, Karim Abdel Aziz dan Yasmine Sabri, selain pelawak terkenal Mesir, Mostafa Khater.

Filem berkenaan sudah pun menemui penonton di lebih 25 negara menerusi 450 pawagam bermula 8 Oktober lalu, termasuk Mesir, Qatar, Iraq, Oman, Lebanon, Kuwait, Bahrain, Syria, Maghribi, Algeria, Tunisia, Jordan, Amerika Syarikat, Kanada, Turkiye dan United Kingdom.