JOHOR BAHRU: Keadaan jerebu di Pasir Gudang semakin membimbangkan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 203 pada pukul 10.30 pagi ini, sekali gus menjadi bacaan tertinggi di Johor berbanding daerah lain.

Tinjauan Utusan Malaysia di perairan Selat Tebrau, berhampiran Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang mendapati keadaan berjerebu jelas kelihatan ketika feri yang berulang-alik dari Pulau Batam, Indonesia ke Jeti Stulang Laut, Johor Bahru memasuki perairan berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan pemandangan di sekitar perairan berkenaan kelihatan kabur, dengan feri yang melalui Selat Tebrau berdepan keadaan berjerebu ketika meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Bacaan IPU hari ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding semalam yang merekodkan bacaan sekitar 175, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kemerosotan kualiti udara di kawasan berkenaan. – UTUSAN