KUANTAN : Seorang pengurus dan pembantu pengurus sebuah rangkaian restoran makanan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah membabitkan kerugian RM58,400.30 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Siti Norsuzuanie Ali, 29. dan Muhammad Zulhilmi Ahyauddin, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka secara bersama didakwa memanipulasi transaksi refund dalam sistem Point of Sale (PoS) yang melibatkan keseluruhan sebanyak 1,199 keping resit berjumlah RM58,400.30 bagi kegunaan sendiri tanpa kebenaran pihak syarikat.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di premis restoran berkenaan di Pekan, dekat sini dalam tempoh bermula bulan Januari sehingga September tahun ini. Kedua-dua mereka dituduh dibawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun berserta sebatan dan denda.








