KOTA KINABALU: Keputusan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir dijadualkan pada 15 Januari tahun depan selepas prosiding berkenaan berakhir pada Rabu lepas sekali gus menutup 96 hari pendengaran dengan 83 saksi yang dipanggil untuk memberi keterangan.
Koroner Amir Shah Amir Hassan berkata, pihaknya menetapkan 15 Disember ini sebagai tarikh akhir bagi semua pihak memfailkan hujah bertulis masing-masing sebelum keputusan disampaikan.
Menurutnya, nota prosiding yang melebihi 5,200 muka surat memerlukan penelitian rapi termasuk menilai hujah dikemukakan serta menganalisis keseluruhan keterangan sebelum mahkamah membuat dapatan.
Dalam arahan kepada semua pihak, beliau meminta percanggahan dalam keterangan saksi diteliti dan dihuraikan khususnya membabitkan saksi kanak-kanak yang jumlahnya agak ramai dalam prosiding berkenaan.






