PETALING JAYA: Konvensyen Tahunan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang julung kali diadakan di Dewan Tun Mustapha, Kudat, Sabah akan menjadi medan pengukuhan strategi politik dan kesiapsiagaan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, konvensyen itu juga akan menilai kemajuan agenda pembangunan rakyat dan negeri berteraskan Manifesto GRS, khususnya pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Katanya, ia dijangka menghimpunkan hampir 3,000 peserta dan pemerhati yang mewakili kesemua 26 Parlimen di Sabah, termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata, penganjuran di Kudat selaras dengan keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) GRS supaya tidak hanya berpusat di Kota Kinabalu, sebaliknya diadakan secara bergilir di daerah lain, tertakluk kepada kesesuaian logistik.