TUMPAT: "Kira-kira jam 7.30 malam tadi, suspek menghubungi saya dan meminta saya menjadi saksi perceraian mereka.

"Bagaimanapun ketika menghubunginya semula kira-kira jam 10 malam sama, saya terkejut apabila dia memberitahu bahawa adik saya sudah meninggal dunia dan dia akan menyerah diri kepada polis."

Demikian dikongsikan Hazwan Ibrahim, 38, yang juga abang sulung kepada pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Norhazwani Ibrahim, 35, yang maut dipercayai dibunuh suaminya di kediaman mereka di Jalan Kuarters KLIA, Nilai, malam tadi.

Hazwan berkata, kali terakhir beliau bertemu Norhazwani yang juga anak bongsu daripada sembilan beradik, di rumah mangsa sebelum pulang ke Kelantan.