KUALA LUMPUR: Pentas seni bakat cilik tanah air terus mekar apabila Pentas Little Star anjuran portal gaya hidup SirapLimau melabuhkan tirainya dengan detik manis buat si cilik berasal dari Sabah, Qaisyah Khairunnisa Syahlil.

Berbekalkan bakat dan sokongan padu peminat, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu dinobatkan sebagai juara musim pertama pertandingan berkenaan selepas mengumpul 200,889 undian secara keseluruhan.

Sepanjang kempen berlangsung, saingan bakat yang ditunjukkan 20 peserta cilik berjaya memukau perhatian penonton.

Ini terbukti menerusi rekod 497,087 undian yang diterimanya daripada 23,685 pengundi, sekali gus mencerminkan keprihatinan masyarakat dalam menyerlahkan potensi generasi muda.