KUANTAN: Dua pekerja restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan melakukan pecah amanah berjumlah lebih RM58,000 dari awal tahun ini.

Pengakuan pengurus restoran, Siti Norsuzuanie Ali, 29, dan penolong pengurus, Muhammad Zulhilmi Ahyauddin, 24, direkodkan di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Mereka didakwa secara bersama-sama melakukan kesalahan itu dengan memanipulasikan transaksi bayaran balik (refund) dalam sistem melibatkan 1,199 resit dengan jumlah RM58,400.30 bagi kegunaan sendiri tanpa kebenaran pihak syarikat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 9 pagi hingga 10 malam di sebuah restoran cawangan Pekan dari Januari hingga bulan lalu.