KUALA LUMPUR: Malaysia mahu lebih banyak syarikat kreatif digital tempatan membangunkan harta intelek (IP) sendiri, membina francais yang berjaya dan menembusi pasaran antarabangsa, kata Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Beliau berkata, langkah seterusnya ialah menterjemahkan bakat kreatif dan kepelbagaian budaya negara kepada produk yang berjaya secara komersial, syarikat berdaya saing di peringkat global serta pekerjaan bernilai tinggi.

"Kejayaan kita tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan apa yang kita bantu hasilkan untuk pihak lain, tetapi juga berdasarkan apa yang kita cipta dan miliki sendiri," katanya dalam ucaptama pada majlis perasmian LEVEL UP KL 2026, di sini, hari ini.