KUALA LUMPUR: Walaupun pelbagai zon bebas rokok sudah diwartakan, dapatan kajian kebangsaan mendedahkan realiti membimbangkan apabila 66.7 peratus responden melaporkan masih terdedah kepada asap rokok di sekurang-kurangnya satu tempat awam dalam tempoh sebulan.

​Dapatan itu membuktikan kewujudan kawasan larangan semata-mata belum mencukupi sekiranya tidak diiringi dengan pematuhan masyarakat dan penguatkuasaan yang berkesan.

​Presiden Persatuan Bulan Sabit Hijau Malaysia, Dr Ahmed Fairuz Mohamed, berkata bukti kajian antarabangsa merangkumi ulasan sistematik terhadap 144 kajian menyokong penuh manfaat persekitaran bebas rokok terhadap kesihatan kardiovaskular, pernafasan dan kesihatan ibu hamil.