Balik Pulau: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyediakan hampir 1,600 tan metrik stok penimbal ikan bagi memastikan bekalan makanan itu mencukupi dan tidak terputus ketika Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan depan.

Pengerusinya Muhammad Faiz Fadzil berkata, persediaan itu turut disokong organisasi swasta menerusi memorandum persefahaman (MoU) bagi memastikan bekalan ikan dapat diteruskan sekiranya berlaku kelewatan bekalan atau kekurangan di pasaran.

"Selain itu, kita ada lebih 2,000 peniaga terlibat dengan ikan import yang menjadi antara mekanisme membantu menjamin kesinambungan bekalan ikan sepanjang tempoh berkenaan.

"Alhamdulillah, seperti pada tahun-tahun lepas, bekalan ikan sentiasa ada dan kita akan kekalkan momentum itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama-sama Nelayan di Teluk Bahang di sini hari ini.