BALIK PULAU : Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bahawa stok ikan yang disediakan untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini sehingga Mac tahun depan adalah mencukupi buat masa ini.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, ketika ini, LKIM turut bekerjasama dengan beberapa organisasi swasta menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi memastikan agar bekalan terus tersedia sekiranya berlaku kelewatan bekalan atau kekurangan ikan di pasaran.
Katanya, pada masa yang sama, lebih 2,000 peniaga yang terlibat dalam perniagaan ikan import juga membantu secara tidak langsung dengan memastikan agar bekalan ikan tidak terputus sepanjang tempoh berkenaan.









