Sungai Petani: Usianya baru 13 tahun, namun semangat dan keberaniannya beraksi di gelanggang sepak takraw nyata tidak mengenal batas usia apabila sanggup mencabar pemain yang jauh lebih berpengalaman.

Muhammad Amirul Arif Mohd Najib, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, antara peserta termuda yang mencuri tumpuan pada saingan Zon Utara Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 di Arena of Sport, di sini, hari ini.

Meskipun regu yang diwakilinya, Tartar, tewas kepada NSTDP Kedah A, aksi bersahaja pemain muda itu ketika bertindak sebagai tekong membuktikan dia tidak gentar berdepan lawan yang berusia sekitar 15 hingga 16 tahun.

Kelincahan dan keberaniannya mengatur permainan turut menarik perhatian penonton, sekali gus mencetuskan harapan bahawa bakat muda itu mampu pergi lebih jauh sekiranya terus diasah menerusi latihan dan pendedahan pertandingan kompetitif.