Kuala Lumpur: Sudah dua tahun berlalu, namun wanita ini masih trauma dengan kejadian tertusuk sepit rambut yang dipakainya semasa bermain gelongsor air di kolam renang.

Lebih membimbangkan, Adriana Bawani Muhammad Syafiq Suresh, 23, masih mengalami sakit kepala terutama apabila memakai topi keledar terlalu lama, belajar atau tidur lewat malam.

Mengimbas kejadian pada 21 Ogos 2024, penuntut Universiti Malaya (UM) itu berkata, dia bersama beberapa rakan mengunjungi kolam renang sebuah penginapan di Kuala Terengganu, Terengganu dan memakai sepit rambut bersama tudung sarung kerana terlupa membawa getah rambut gantian.

Katanya, ketika mereka bermain gelongsor air secara bergilir-gilir, seorang rakannya tergelincir sebelum terjatuh tepat di atas kepalanya.