KUALA LUMPUR: Kecederaan trauma akibat objek tumpul di bahagian kepala disahkan sebagai punca kematian tragis seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang dipercayai dibunuh di sebuah dewan sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor, kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, perkara berkenaan disahkan menerusi proses bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Patologi Forensik di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat semalam.
Susulan kejadian yang menggemparkan itu, beliau memberi jaminan penuh siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah terperinci dan tiada sebarang usaha menyembunyikan fakta daripada masyarakat.
"PDRM turut memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang elemen 'cover-up' atau melindungi mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan, hari ini.









