KUALA LUMPUR: Ibu bapa dan golongan berisiko tinggi digesa supaya tidak memandang remeh ancaman jerebu yang melanda negara kerana pendedahan secara kerap kepada udara tercemar berupaya memberi kesan buruk jangka panjang terhadap kesihatan, khususnya perkembangan fungsi paru-paru kanak-kanak.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Haziqah Kamaludin, berkata organ pernafasan kanak-kanak masih dalam fasa perkembangan sehinggalah mereka mencapai usia awal 20-an.
Beliau berkata, kanak-kanak secara semula jadi bernafas lebih laju berbanding orang dewasa bagi menampung keperluan oksigen yang tinggi untuk proses tumbesaran badan mereka.









