KUALA LUMPUR: Proses pemasangan tempatan (CKD) kenderaan elektrik (EV) BYD dijangka memperkukuh daya saing jenama itu di pasaran Malaysia, selain berpotensi meningkatkan kadar penggunaan kapasiti kilang Inokom, anak syarikat Sime Darby Bhd.
Firma penyelidikan CGS International dalam nota penyelidikannya berkata, BYD melantik Inokom, yang 53.8 peratus dimiliki Sime Darby, sebagai rakan pemasangan CKD di kilangnya di Kulim, Kedah.
Menurut firma itu, kenderaan CKD tidak tertakluk kepada syarat nilai kos, insurans dan tambang (CIF) minimum RM200,000 serta output kuasa 180 kilowatt (kW) yang dikenakan terhadap kenderaan import siap dipasang sepenuhnya (CBU).
Keadaan itu membolehkan BYD mengekalkan daya saing harga di pasaran tempatan, sekali gus menyokong kemampanan perniagaan pengedaran jenama berkenaan oleh Sime Darby.






