JAKARTA: Dagangan Bursa Saham Indonesia (BEI) digantung sementara selama 30 minit pada Jumaat selepas Indeks Komposit Jakarta (IHSG) yang juga indeks utamanya, menjunam sebanyak lapan peratus.

Pemangku Setiausaha Korporat BEI, Valentina Simon, berkata dagangan itu telah digantung pada 8.58 pagi mengikut waktu Sistem Dagangan Automatik Jakarta (JATS) sebelum kembali beroperasi pada 9.28 pagi tanpa sebarang perubahan dalam jadual dagangan biasa.

"BEI melaksanakan langkah berkenaan bagi memastikan dagangan ekuiti berjalan secara teratur, adil serta cekap," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Di bawah peraturan dagangan BEI, penggantungan dagangan selama 30 minit itu akan dilaksanakan apabila indeks penunjuk utama merosot melebihi lapan peratus dalam tempoh satu hari dagangan.