Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong menyoal tentang nasib data pengguna JPJ susulan penggantungan MyEG dan Zetrix AI sebagai ejen kutipan JPJ. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pemuda MCA menimbulkan persoalan tentang nasib data peribadi pengguna susulan penggantungan MyEG Sdn Bhd (MyEG) dan Zetrix AI Bhd (Zetrix AI) sebagai ejen kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Penerangan Neow Choo Seong mendakwa MyEG dan Zetrix AI masih menyimpan dan menguasai pangkalan data peribadi jutaan pengguna JPJ walaupun perkhidmatan telah digantung.

"Apakah jaminan data ini selamat?" katanya dalam kenyataan, sambil menimbulkan kebimbangan tentang risiko kebocoran data peribadi.

Pada 2 Okt lalu, JPJ mengumumkan penggantungan MyEG dan Zetrix AI sebagai ejen kutipan berkuat kuasa 5 Okt, selepas mengambil kira pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian serta kedudukan obligasi yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan syarikat itu.