Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggantung perkhidmatan MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd di bawah Kumpulan MYEG sebagai Ejen Pemungut bagi pihak JPJ, berkuat kuasa 12.01 pagi, 5 Okt ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian yang ditetapkan, serta kedudukan obligasi yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat berkenaan.

“Selaras dengan keputusan itu, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran Kumpulan MYEG akan digantung mulai tarikh berkenaan.

“JPJ memberi jaminan bahawa urusan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan terus berjalan seperti biasa melalui saluran rasmi dan alternatif yang disediakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.