KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan bahawa inisiatif MediAsas tidak bertujuan menggantikan perkhidmatan hospital kerajaan, sebaliknya menyediakan pilihan perlindungan perubatan yang lebih mampu milik kepada rakyat sebagai pelengkap kepada sistem kesihatan sedia ada.

Timbalan Gabenor BNM, Aznan Abdul Aziz, berkata inisiatif itu dirangka bagi melengkapkan pilihan perlindungan perubatan antara insurans swasta dan perkhidmatan kesihatan awam, khususnya untuk golongan yang memerlukan perlindungan pada kos lebih berpatutan.

Beliau berkata, program perintis MediAsas ketika ini membabitkan sekitar enam pengendali insurans dan takaful serta 10 hospital, dengan permohonan dan pengeluaran polisi sudah mula direkodkan.