Kuching: Kerajaan Sarawak menyalurkan bantuan kepada waris lima mangsa tragedi helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Long Lellang, Ulu Baram, bulan lalu, termasuk sokongan pendidikan kepada anak mangsa hingga ke peringkat universiti.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, bantuan itu diberikan bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi berkenaan.

Beliau mengakui kehilangan anggota keluarga akibat tragedi itu adalah sesuatu yang tidak dapat digantikan dengan apa juga bentuk bantuan.

"Namun, sedikit sebanyak kita dapat membantu mereka, khususnya anak mereka. Tadi kita ada memberi surat tawaran daripada Yayasan Sarawak untuk membantu pembayaran yuran dan persekolahan anak mereka hingga ke peringkat universiti," katanya.