KUALA LUMPUR: Selangor mencatatkan jumlah aduan tertinggi menerusi sistem MyLapor, dengan 358 kes dilaporkan sejak ia dilancarkan secara rasmi bagi tempoh 12 hingga 15 Oktober lalu.

MyLapor adalah saluran aduan digital untuk orang ramai melaporkan kepada Kementerian Kesihatan KKM) berhubung kesalahan merokok dan penggunaan vape di kawasan larangan merokok.

Ia mula beroperasi pada 12 Oktober turut dibangunkan bagi membantu penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Program Kesihatan Awam, KKM dalam satu kenyataan media memberitahu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memegang rekod kedua tertinggi dengan 210 aduan, diikuti Johor sebanyak 160 aduan.